Saturday, September 24, 2011

kalimah-kalimah yang berat
kubiar di akal sarat-sarat
lalu kutulis menjadi padat
agar bila nanti di sukma kausemat
terasa nikmat.

Thursday, August 18, 2011

Menjadi Rahib

Allah,
seribubulankan malam-malam
ketika kami menjadi rahib-rahib;
yang tercandu dengan syurgamu.

Saat itu,
jadikan kami perkasa;
dalam sujud-sujud yang panjang
dan doa-doa yang syahdu.

Thursday, June 23, 2011

Kepayahan Menjadi Bujangan Zaman Ini.

Maha Tahu,
Kau pasti sudah tahu.

Perang ini terlalu menuntut
aku sudah terlalu semput.

Jangan nanti di sana
aku menjadi tercelaka
dan Abdullah Bin Ubai
mendekat mengaku saudara.

Friday, April 1, 2011

17

Duhai Tuhan.

Mata hina yang di dunianya celaka,
di akhirat jangan kau jadikan buta.

Biar
rindu melihat wajahMu
di hujung nanti
bersudah cinta.

Please,Allah.

Thursday, February 24, 2011

Peristiwa Pentas Sundal

Di sudut yang gemerlapnya neon
dan menjadi luasnya horizon
seorang manusia biasa menjadi dewi
berselang sorak menggempita teriak
suaranya yang tidak molek
dimaafkan punggung yang rancak digelek.

Malam-malam lumrah di pentas karaoke bermaruah
menjadi sundal
dengan melodi berahi yang gatal.




Uptown Kota Damansara
25/2/11

Tuesday, February 22, 2011

Gelora

Duhai dara,
Mengapa berebut menjadi
bitara di dalam jiwa.

Dan mata yang kadang-kadang meminta buta
dan jiwa yang tidak tahan meronta.

Gadis,tepi.
Padamu tidak mahu aku mengabdi.


Thursday, February 10, 2011

Pantun Maulud

Telah datang awan kepada bumi,
Menggumpal menjadi mega dunia.
Telah datang bulan kepada kami,
Rabiulawal menjadi mula kurnia.

Maka terhingarlah seluruh dunia,
Dengan kesuburan terbawa hujan.
Maka bersinarlah seluruh buana,
Dengan kelahiran Rasul akhir zaman.

Mula terjamin cemerlangnya tanah,
Tertumbuhlah alam hijau dan lebat.
Dia Al-Amin pemegangnya amanah,
Pembijaksana penjuru Hajarul Aswad.

Terjadilah fitrah bercintalah lebah,
Menjadi gemilang madunya terserlah.
Terjadilah hijrah berangkatlah ummah
Menjadi lambang benarnya hidayah.

Bersambunglah gusar menguji zaman,
Seri terpudar bukan tandingan.
Bertarunglah Badar menguji iman,
Seribu malaikat bukan dongengan.

Berdendam bumi dipukul dimati
Mencipta akhirat ke jalan insani.
Berkalam nabi ummati ummati,
Mencipta cinta ke dada kami.